Laporan/foto: Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)
JEMPOL, 4 Dis (Malaysiaaktif) – Hospital Jempol menganjurkan program Khatan Perdana dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Jempol, Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting serta Persatuan Belia Felda Raja Elias 4.
Menurut Pengarah Hospital Jempol Dr. Zul Iskandar Zainudin, pihaknya menyedari akan kos berkhatan yang agak mahal bagi keluarga yang kurang berkemampuan, program tersebut dapat sedikit sebanyak meringan beban mereka.
“Program Khatan Perdana ini mendapat sambutan daripada kira-kira 100 orang kanak-kanak dengan bayaran sebanyak RM50 seorang sahaja, diharapkan program ini dapat membantu keluarga mereka,” ujarnya.
Sementara itu Penyelaras DUN Serting Abd Rahman Ramli, berkata selari dengan peredaran zaman kecanggihan teknologi dan dunia perubatan telah membawa definisi baharu dalam dunia berkhatan dan program seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang.
“Ibu bapa harus peka dengan perkembangan anak-anak yang bakal menuju ke alam remaja dan mereka harus dijaga sebaiknya agar tidak terlibat dengan perkara-perkara buruk yang boleh menggugat masa depan mereka,” katanya semasa merasmikan program tersebut, di sini baru-baru ini.
Abd Rahman turut mengingatkan kepada semua agar sentiasa menjaga perpaduan yang ada sekarang dan tidak membakar api perkauman yang boleh mengugat kesejahteraan negara.
Program yang berlangsung selama dua hari tersebut melibatkan seramai 15 orang pegawai perubatan dan 22 penolong pegawai perubatan daripada Pusat Rawatan Harian Hospital Jempol dengan dipantau oleh Pakar Perunding Jabatan Pembedahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.
Turut hadir, Pegawai Daerah Jempol MasMidyawan Yahya, Pegawai Kesihatan Daerah dan pemimpin-pemimpin masyarakat.
-AK