Laporan/foto: Abd Halim Jumat (Jelebu)
JELEBU, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai lebih 300 orang peserta telah memeriahkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1441H Peringkat Daerah Jelebu yang telah diadakan di Dewan D’Sury, Kuala Klawang, di sini semalam.
Bertemakan ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’ sambutan ini dimulakan dengan perarakan kontinjen terdiri daripada kakitangan kerajaan, badan berkanun, badan beruniform, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan masyarakat setempat yang bermula dari Stadium Mini Kuala Klawang dan berakhir di Dewan D’Sury.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Undang Luak Jelebu Dato Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Maarof Mat Rashad dan isteri, Tok Puan Mahawa Mohd Som.
Datuk Maarof dalam ucapannya berkata bahawa setiap umat Islam harus menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai tauladan dalam kehidupan seharian.
“Setiap umat Islam khususnya di Jelebu diharap dapat menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan agama Islam serta menjadikan baginda ikutan terbaik di dalam kehidupan ini,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1441H Peringkat Daerah Jelebu
Beliau turut berkenan menyampaikan hadiah pertandingan perarakan kepada para pemenang.
Di samping itu, turut diadakan ceramah agama khas yang bertajuk ‘Rasulullah Ikutan Terbaik’ yang disampaikan oleh Pencetus Ummah Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Razak.
Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Klawang Bakri Sawir.
-AK