
Laporan/foto: Sharifah Ithnin (Alor Gajah)
MACHAP JAYA, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Melalui Info On Wheels yang diperkenalkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia tahun ini, ia sedikit sebanyak mendekatkan masyarakat dengan maklumat dan isu semasa.
Bersesuaian dengan objektif program ini untuk memberi informasi yang tepat kepada seluruh lapisan masyarakat secara bersemuka selain hebahan yang dijalankan sedikit sebanyak memudahkan masyarakat untuk menerima informasi tentang isu yang sedang berlaku terutama berkaitan penularan wabak Coronavirus yang sedang hangat diperkatakan.
Selaras dengan itu, Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah mengambil inisiatif turun padang bagi menyalurkan maklumat kepada masyarakat dan turut mengedarkan risalah berkaitan penularan wabak Coronavirus serta hebahan berkaitan catuan air yang sedang berlaku di Melaka.
Exco Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Melaka merangkap ADUN Machap Jaya, Genie Lim Siew Lin berkata, “program sebegini amat bagus untuk diteruskan terutama dalam memberi maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat terutama yang tinggal di luar bandar.
Walaupun mereka terdedah kepada maklumat di media sosial, belum tentu maklumat itu benar. Jadi dengan cara ini masyarakat akan dapat maklumat yang sahih melalui edarkan risalah dan hebahan umum yang dibuat oleh Jabatan Penerangan,” ujarnya.
Manakala bagi Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan@Abd Rashid sudah pasti tanggungjawab dan amanah sebagai agen pemasaran maklumat dasar Kerajaan dilaksanakan bagi memastikan rakyat memahami isu-isu semasa yang berlaku terutama berkaitan Coronavirus yang kini melanda beberapa negara.
“Masyarakat harus peka terhadap maklumat semasa supaya diri dan keluarga dapat dilindungi awal dari jangkitan ini, kita sentiasa memberi maklumat tepat terhadap penularan virus ini dan memuat naik infografik serta kenyataan-kenyataan media melalui media sosial selain aktiviti turun padang,” katanya.
-KN