Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Thaipusam: Lima Jalan Ditutup Sepenuhnya Bermula 6 Februari

By 31 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

BATU CAVES, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Beberapa jalan menuju sekitar kuil Batu Caves akan ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas sempena Thaipusam pada 8 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Taware, berkata kawalan aliran lalu lintas bermula bulatan Batu Caves ke simpang susur Sri Gombak kedua-dua arah, laluan jalan Batu Caves dan jalan-jalan sekitar Batu Caves.

“Jalan-jalan yang akan ditutup sepenuhnya bermula 7 malam pada 6 Februari hingga 9 Februari adalah susur Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke kuil Batu Caves.

“Turut ditutup sepenuhnya adalah Jalan Perusahaan ke kuil Batu Caves, susur MRR2 dari Sri Gombak ke susur Perusahaan Batu Caves dan simpang tiga Jalan SBC 8 / Jalan Batu Caves Lama.

“Manakala dua laluan yang akan ditutup mengikut keperluan semasa adalah persimpangan lampu isyarat jalan Kampung Melayu Batu Caves dan simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves (SBC) hadapan stesen minyak Shell,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai persiapan sambutan Thaipusam di kuil Batu Caves, hari ini.

Arifai turut menasihatkan pengunjung kuil Batu Caves dan pengguna jalan raya agar mematuhi arahan anggota polis trafik yang akan bertugas 24 jam sepanjang perayaan Thaipusam berlangsung.

“Sila patuhi arahan papan tanda dan peraturan lalu lintas, dilarang memberhenti atau meletakkan kenderaan sesuka hati serta dilarang melintas jalan sepanjang jalan MRR2 kedua-dua arah.

“Orang ramai yang ingin menerbangkan dron perlu mendapat kebenaran Jabatan Penerbangan Awam (DCA), sekiranya ingkar pihak polis akan bertindak menjatuhkan dron tersebut,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda