
Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad (Kuching)
KUCHING, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Majlis Islam Sarawak (MIS) akan menganjurkan program Gagasan Ummah Gemilang MIS 2020-30 di seluruh bahagian di negeri ini bermula Mac nanti selama sebulan.
Menurut Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha, program ini memberi kefahaman dan penjelasan berkenaan peranan dan kewajipan Majlis (MIS) sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 5 Ordinan Majlis Islam Sarawak.
βSeksyen ini dengan jelas menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial dan kesejahteraan masyarakat Islam di dalam negeri selaras dengan Undang-Undang Islam.
“Sehubungan itu, semua agensi-agensi MIS akan berkongsi fungsi dan peranan masing-masing dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dan tanggungjawab dalam merealisasikan agenda MIS dalam Pelan Tindakan MIS 2020-30 tercapai seiiring dengan tanggungjawab terhadap agama dan kehendak ordinan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut, di sini semalam.
Misnu menjelaskan objektif program adalah memberi penekanan mengenai kepentingan kepemimpinan Islam dan amanah kepimpinan.
“Antara lain, ia menjelaskan Pelan Tindakan MIS 2020-30 dalam mensejahterakan ummah di samping perkongsian fungsi dan peranan agensi-agensi MIS serta mendekati masyarakat akar umbi melalui penyediaan perkhidmatan dan maklumat segera demi merapatkan jalinan hubungan mesra dua hala,” tambahnya.
Turut diadakan sempena Gagasan Ummah Gemilang MIS 2020-30 ini ialah Tawjihat Kubra, Sesi Perkongsian Pelan Tindakan Majlis Islam Sarawak 2020-2025 (PTMIS) serta pameran daripada agensi tempatan.
-SH