
Laporan/foto: Mawarni Ismail/Azimee Abdullah (Daerah Barat Daya)
BAYAN BARU, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Majlis Pelancaran Landskap Nanas Hiasan dilancar dengan rasminya bertempat di perkarangan pusat khidmat Ahli Parlimen Bayan di sini.
Program inisiatif Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bayan Baru itu dilaksanakan bagi mengembangkan potensi serta permintaan terhadap landskap nanas hiasan di samping menarik minat golongan sasar untuk menceburi industri nurseri serta mengetengahkan konsep landskap keluarga dan menyokong serta memperluaskan jaringan pasaran terhadap industri ini.
Majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin, yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, pemimpin-pemimpin masyarakat serta komuniti setempat.
Sim Tze Tzin berkata, ruang dan peluang kepada pengusaha dan bakal pengusaha seperti golongan agropreneur muda untuk melibatkan diri dalam industri nurseri dan pembekalan nanas hiasan sekaligus harus diberikan bagi memberikan pendapatan yang lumayan kepada mereka yang terlibat.
“Saya juga berharap agar Jabatan Landskap Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan terus menyokong usaha ini dalam mempromosi dan seterusnya mengaplikasikan penggunaan tanaman nanas hiasan sebagai tanaman landskap di masa hadapan tercapai,” katanya ketika meraspikan program tersebut, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu Pejabat Penerangan Daerah Barat Daya turut terlibat mengendalikan kawalan media serta alat siaraya bagi melancarkan program tersebut.
Kesempatan ini juga digunakan untuk berjumpa dengan pemimpin masyarakat dan orang ramai dalam usaha mempromosikan FB Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang.
-ii-