Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Selamat Sampai Ke Destinasi

By 21 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman (Seberang Perai Utara)

BUTTERWORTH, 21 Jan (Malaysiaaktif) -“Syabas dan tahniah atas kejayaan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara yang telah berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 6.4 % bagi tahun 2019 dan selama 3 tahun berturut-turut,” ujar Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, pada Majlis Pelancaran Ops Selamat ke-16 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2020, di sini baru-baru ini.

Majlis ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Phee Boon Poh, ADUN Bagan Jermal Soo Lip Chee, Pegawai Daerah Seberang Perai Utara Zulkifli Rashid, dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.

Majlis pelancaran Ops Selamat

Guan Eng berucap pada Majlis Pelancaran Ops Selamat 16 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya

Pada sidang media selepas pelancaran majlis tersebut, beliau juga menyentuh mengenai kerja menaik taraf Balai Polis Butterworth yang telah berusia lebih 15 tahun yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mei 2020 dengan kos peruntukan sebanyak RM2 juta. Beliau juga berharap dengan penaiktarafan balai ini dapat memberikan motivasi dan semangat baru kepada anggota kerja Polis Diraja Malaysia.

Ops Selamat yang bermula pada 18 Januari hingga 1 Februari nanti bertujuan mencegah jenayah khususnya kejadian kes pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya, khususnya kemalangan maut ketika musim perayaan.

Antara yang hadir

Antara yang hadir

Sepanjang Ops Selamat ini berlangsung, semua pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan turun ke lapangan dengan menjalankan tugas rondaan bermotosikal, berkereta dan statik.

“Objektif utama konsep ini adalah bertujuan untuk melancarkan pergerakan lalu lintas dan mengelakkan kesesakan jalanraya bagi menjamin pengguna jalanraya selamat sampai ke destinasi yang dituju.

“Dengan tema “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi” konsep rondaan pencegahan jenayah di taman-taman perumahan akan turut dipertingkatkan, dengan anggota balai dan kereta  peronda, Unit Rondaan Bermotosikal, rondaan bit akan bertindak sebagai tunjang utama untuk memantau rumah dan premis yang ditinggalkan,” katanya lagi.

Edaran topi keledar kepada penunggang motosikal

Edaran topi keledar kepada penunggang motosikal

Pada majlis berkenaan turut diedarkan topi keledar dan jaket keselamatan kepada penunggang motorsikal, sementara lampu suluh dan risalah berkaitan kempen keselamatan turut diberikan kepada pemandu kenderaan.

-ii-

Tinggalkan komen anda