
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Majlis Penutup Karnival Tahun Baharu Cina 2020 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang telah disambut dengan penuh gemilang, di sini kelmarin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, karnival seumpama ini sememangnya perlu dikekalkan bagi melahirkan semangat pemuafakatan antara kaum dalam melahirkan masyarakat yang kekal harmoni agar semangatnya dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
“Setiap persembahan kesenian masyarakat Cina sememangnya mempunyai nilai seni budaya dan adat resam yang tersendiri dan menjadi tarikan sepanjang karnival ini berlangsung dimana ia dapat dihayati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum malah menjadi platform untuk menterjemahkan perpaduan dan suasana harmoni di negara kita” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli DUN Bukit Kepayang, menyifatkan kemeriahan sambutan perayaan ini dapat dirasai oleh semua pengunjung yang mana mereka turut sama berpeluang menyelami adat resam serta nilai budaya masyarakat Cina yang diterjemahkan sepanjang karnival tersebut berlangsung.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dalam ucapannya berkata mengikut zodiak Cina, Tahun Baru Cina 2020 juga dikenali sebagai tahun tikus yang mana ianya dipercayai akan memberikan keuntungan, kemakmuran dan kekuatan bagi mereka yang rajin mencari ruang dan peluang untuk memajukan diri.
“Saya berharap dengan adanya karnival sebegini, ia akan turut menjadi sumber rezeki kepada semua peniaga-peniaga di Sungei Ujong Walk ini, namun suka saya mengingatkan supaya tahap kebersihan dan kualiti makanan perlu dititikberatkan,” ujarnya ketika merasmikan majlis.
Majlis tersebut turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti zumba, pertandingan mereka tanglung, persembahan tarian naga dan tarian singa , lou sang, cabutan bertuah, persembahan nyanyian lagu serta tarian berbilang kaum.
Turut hadir barisan EXCO Negeri Sembilan dan Ketua-ketua jabatan.
-AK