
Laporan/foto: Tengku Nor Liza Tengku Yahya/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad semalam mengumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM10 juta bagi tujuan pengambilan pegawai dan kakitangan sebagai memenuhi keperluan tambahan ekoran penganjuran program besar-besaran di ibu kota pada tahun ini.
Menurut beliau, DBKL telah merancang untuk mengambil seramai 229 pegawai dan kakitangan baru berstatus Pekerja Sambilan Harian (PSH) secara temuduga terbuka pelbagai peringkat jawatan di mana pembayaran gaji adalah secara bulanan tetapi berdasarkan kadar harian kecuali hari minggu.
“Pengambilan PSH ini akan melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM4.3 juta sebagai langkah persediaan menerima para pengunjung dari seluruh dunia sempena acara-acara besar di Kuala Lumpur pada tahun ini seperti KL Kota Buku Dunia (KLWBC), Tahun Melawat Malaysia dan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November 2020”, ujar Khalid pada siding media bertempat di DBKL hari ini.
Jelas Khalid lagi “Ia juga bagi memastikan bandaraya Kuala Lumpur sentiasa berada dalam keadaan yang baik daripada segi pentadbiran, keselamatan mahu pun pengawalan sepanjang tahun ini”.
“Manakala baki RM5.7 juta lagi akan digunakan untuk menyediakan peluang pekerjaan lain dari masa ke masa”, tambah beliau.
Beliau menjelaskan sesi temuduga terbuka (walk-in) pelbagai peringkat jawatan ini akan diadakan seperti berikut iaitu bagi calon-calon berkelulusan Penilaian Menengah Rendah/PT3 akan diadakan pada 21 Januari ini, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 22 Januari dan bagi yang berkelulusan Diploma pula pada 23 Januari bertempat di Institut Latihan DBKL, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Manakala calon yang berkelulusan Ijazah pula boleh membuat permohonan melalui sistem e-pengambilan.
“Iklan berkaitan perkara ini telah dipaparkan di laman sesawang DBKL bermula 13 Januari 2020”, katanya.
Khalid juga menyeru seluruh warga WPKL untuk menyahut tawaran DBKL ini sebagai suntikan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan.
-AO