Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Komitmen, Kesatuan Fikir dan Kesalinghubungan Teras Kejayaan Sebuah Kerajaan – Amirudin

By 17 Januari 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan /foto : Mohamad Zairin Mohamad Zin/FB Official Amirudin Shari

SHAH ALAM, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa tahun 2020 adalah pasak permulaan gerak kerja berteras realisme baik dalam konteks penggubalan dasar hingga ke tahap sistem penyampaian maklumat.

“Mengagas Selangor selaku Negeri Pintar Unggul menjelang tahun 2025, jelas memerlukan hanya satu perkara iaitu sistem penyampaian perkhidmatan yang turut pintar malah unggul,” tegas beliau ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor semalam.

“Pelbagai kejayaan telah kerajaan negeri kecapi sepanjang 2019 dan ini bukan atas keputusan saya sendirian tetapi ini adalah hasil daripada kerjasama semua pihak terutama penjawat awam selaku penggerak kerajaan Negeri Selangor di pelbagai lapisan,” kata beliau lagi.

Amirudin turut menyatakan bahawa ini semua berhasil dari tiga kunci utama iaitu, pertama, komitmen di mana
komitmen dan kerjasama penjawat awam segenap lapisan adalah dituntut bagi memastikan daya usaha dalam menggerak jentera perkhidmatan kerajaan negeri dapat dipacu ke tahap terbaik, tanpa mengabaikan setiap aduan mahupun keluhan rakyat selagi mana ianya relevan ditanggapi dalam kerangka prosedur dan tatacara perundangan.

“Antara bukti sikap berkomitmen ialah sentiasa waspada dengan persekitaran dan mampu bekerja tanpa menunggu arahan,” tegas Amirudin.

“Kedua, kesatuan fikir di mana kesatuan pemikiran dan idealisme antara setiap satu kalangan kita adalah kunci kepada sebuah jentera pentadbiran yang mantap. Benar, sudut pandang kita mungkin berbeza namun dalam kepentingan negeri ini diangkat keunggulannya dan rakyat dijamin kebajikannya, maka kesatuan fikir ini adalah kunci asas kepada kerjasama dan komitmen yang hendak diasaskan,” ujar beliau.

“Perkara ketiga setelah komitmen dan kesatuan fikir adalah kesalinghubungan atau interconnectivity. Kesalinghubungan antara penjawat awam, pihak berkepentingan, kerajaan, seterusnya rakyat adalah pelengkap kepada dua elemen yang disebutkan sebentar tadi. Kita mungkin mampu menggiat kerjasama, kita pasti bersedia merangkul kesatuan fikir sesama kita, namun tanpa kesaling-hubungan ini, ia akan menjadi sesuatu yang sifatnya acuh tak acuh,” kata Amirudin.

Amirudin turut berkata bahawa penting juga untuk diingatkan betapa zaman sudah berubah dan media hari ini tidak lagi bersifat sehala. Dalam dunia serba berkait, dan lambakan maklumat sama ada dalam arus perdana mahupun media sosial, memerlukan kita bekerja dengan lebih pintar antaranya dengan mewarwarkan kejayaan kita, seberapa kecil pun, untuk pengetahuan umum.

“Namun begitu, saya dapati masih lagi banyak kisah-kisah kejayaan atau success stories yang wajar kita ketengahkan ke khalayak ramai. Dengan itu, saya mengajak semua untuk  meningkatkan komunikasi antara kita,” kata Amirudin.

Majlis ini turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Speaker Dewan Negeri Selangor, Tuan Ng Suee Lim dan dihadiri lebih 500 penjawat awam seluruh negeri Selangor.

-NAZ

Tinggalkan komen anda