Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Terima Kasih Matahari

By 15 Januari 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Krisha Selladurai/ Mohamed Hirsham Azmi (Pontian)

PONTIAN, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Hari Ponggal atau Thaiponggal juga dikenali sebagai Makara Sankranthi merupakan perayaan semasa musim menuai yang diraikan secara meluas oleh masyarakat India.

Perayaan ini disambut untuk memupuk serta mengekalkan budaya mereka agar kehidupan generasi pada masa hadapan akan bertambah baik dan dilimpahi rezeki yang berpanjangan.

Perkataan Pongal dalam bahasa Tamil bererti “melimpah ruah” di mana susu lembu yang melimpah apabila dipanaskan dalam periuk belanga tanah liat melambangkan kemakmuran dan kekayaan yang akan melimpah ruah sepanjang tahun tersebut.

Antara penyediaan untuk memasak Nasi Manis.

Penyediaan untuk memasak Nasi Manis.

Secara tradisi, Thaiponggal dirayakan ketika musim menuai yang mana ia merupakan luahan terima kasih kepada Dewa Matahari (Suryabagawan) dan ternakan ladang yang membantu menghasilkan kekayaan harta benda serta untuk hasil tuaian yang baik dan mengabadikan tuaian pertama kepada Dewa Matahari.

Perayaan ini merupakan permulaan bulan Tamil dan kebiasaannya dirayakan sekitar 13 hingga 15 Januari di mana ia menandakan hari apabila Matahari dikatakan bergerak ke utara dan menjadi semakin panjang di tanah Tamil Nadu.

Thai Pongal jatuh pada Makara Sankranthi yang dirayakan di seluruh India sebagai penuaian di mana ia juga mewakili solstis India apabila matahari dikatakan memasuki rumah ke-10 dalam Takwim India.

Nasi manis yang dimasak bersama susu, kacang gajus dan kismis.

Nasi manis yang dimasak bersama susu, kacang gajus dan kismis.

Perayaan ini disambut selama tiga hari di mana hari pertama merupakan hari untuk berterima kasih kepada Dewa Matahari, hari kedua adalah untuk berterima kasih kepada ternakan lembu yang membantu dalam proses pertanian padi dan juga berkongsi hasil susunya dengan manusia manakala hari ketiga dikhaskan kepada gadis-gadis yang belum berkahwin kerana pada ketika ini mereka tidak akan turun ke sawah.

Pada hari terakhir perayaan, menyaksikan para gadis memakai pakaian baharu yang serba cantik dan menawan yang dianggap sebagai upacara peminangan terbuka untuk jejaka yang masih belum berkahwin.

Menurut Subramanian Chellapan, 65, sambutan Hari Ponggal merupakan acara yang dapat mengumpul semua ahli keluarganya sekaligus mampu mewujudkan ikatan silaturrahim yang erat.

“Seawal jam 6.00 pagi, saya dan keluarga akan bersama-sama memasak nasi manis dengan menggunakan bahan-bahan seperti susu lembu, kacang gajus dan kismis serta sedikit minyak sapi dalam periuk belangga tanah liat,” ujarnya.

Beliau dan isterinya, Puspam Muniandy, 62, meraikan hari istimewa ini bersama seluruh ahli keluarga dengan cara menjerit “Ponggal oh Ponggal” sambil melihat matahari sebagai tanda ucapan terima kasih kepada matahari yang memberi cahaya kepada kehidupan di dunia ini.

Sepanjang perayaan, rumah-rumah masyarakat India akan dicat dan dihias dengan tebu, pelepah kelapa, kolam yang berwarna-warni manakala nasi manis yang dimasak akan dikongsi bersama sanak-saudara serta turut diadakan beberapa acara pertandingan seperti silambam, penjinakan lembu jantan dan persembahan tarian.

Perayaan ini diadakan bagi memberi rehat kepada pesawah, ternakan dan semua rakyat agar mereka dapat bergembira dan ia juga sebagai peluang untuk gadis dan jejaka memilih pasangan mereka.

-NI-

Tinggalkan komen anda