Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

500 Tahun Bertemu Jua

By 15 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Malini Md Yunos & Sapar Sutir (Rembau)/Abdul Razak Yasin (Balai Undang)

REMBAU, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Program ‘Jejak Persukuan Adat Perpatih Suku Seri Lemak’ oleh Kabupaten 50 Sumatera Barat, Indonesia ke Kampung Selemak, di sini merupakan program  inisiatif  Persatuan Ikatan Kekeluargaan dan Warisan Adat Minang Negeri Sembilan (IKWAMNS) bagi menjejak dan merapatkan hubungan persaudaraan ikatan dalam sesuku yang terputus sejak hampir 500 tahun terdahulu.

Program dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Masjid Kariah Kampung Selemak, Balai Undang Luak Rembau serta Lembaga Adat Suku Seri Lemak di Luak Rembau tersebut melibatkan 15 orang pemimpin adat dan Ibu Soko yang diketuai oleh Ketua Adat Nagari Sarilamak Kabupaten 50 Kota Sumatera Barat, Datuak Putiah Amri.

Kampung Selemak mengikut sejarah telah dibuka oleh pembesar Datuk Putih atau Tok Putih bersama pengikut-pengikutnya yang  berasal dari Nagari Sarilamak, Pagar Ruyung, Sumatera Barat Indonesia kira-kira 500 tahun dahulu dan Kampung Selemak juga mempunyai kawasan yang luas diteroka oleh empat orang ketua daripada suku berbeza dan lembaga iaitu Suku Seri Lemak, Suku Seri Melenggang, Suku Tanah Datar dan Suku Batu Hampar.

Pengerusi IKWAMNS, Bachik Othman, berkata program tersebut juga diadakan untuk mengetahui akan asal usul kewujudan nama Suku Seri Selemak dan Kampung Seri Lemak.

WhatsApp Image 2020-01-15 at 12.52.21

Ziarah makam Tok Putih selaku pembuka Kampung Selemak, Rembau.

“Program seumpama ini adalah satu usaha dalam mengeratkan silaturahim dan pertukaran maklumat mengenai adat dan suku yang dikatakan sama dibawah lembayung Adat Perpatih di Kantor Wali Nagari Sarilamak,” ujarnya.

Menurut Pengerusi MPKK Kampung Selemak, Mohd Izal Ibrahim, beliau amat berharap agar program tersebut dapat diteruskan agar semangat silaturahim serumpun serta adat dan budaya dapat dikembangkan dan diserlahkan sebagai khazanah buat generasi muda agar lebih mengenali asal usul suku dan lebih memahami perwarisan Adat Perpatih.

“Saya berasa amat bersyukur kerana program ini berjalan lancar serta meriah selain menyantuni saudara cucu cicit yang masih mempunyai pertalian saudara di Sumatera Barat walaupun tidak bertemu sekian lama sejak 500 tahun lalu,” tambahnya.

Turut hadir memeriahkan majlis, Datuk-datuk Satu Lembaga dan Penyandang Pusaka Adat di Luak Rembau, Ketua-ketua jabatan serta masyarakat setempat.

-AK

Tinggalkan komen anda