Skip to main content
Berita TengahPutrajaya

Undang-undang Alam Sekitar Malaysia Tidak Berkait Dengan Perubahan Iklim

By 21 Januari 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 21 Jan (Malaysiaaktif)  – Dengan perubahan iklim menjadi kecemasan sejagat, negara-negara di seluruh dunia sedang melihat kepada pelbagai langkah pengurangan bermula dari sempadan mereka sendiri, dengan harapan usaha bersama negara-negara ini akan membantu menyelamatkan dunia daripada kesan bencana perubahan iklim.

Perubahan yang diperlukan termasuk mengurangkan gas rumah hijau dan degradasi alam sekitar hanya boleh dicapai menerusi undang-undang yang tegas dan menyeluruh.

Para penceramah di sebuah forum bertema “Kesan Perubahan Iklim dan Bahaya Antropogen ke atas Persekitaran Marin di Malaysia” di sini hari ini mendapati sementara Malaysia mempunyai Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974 untuk melindungi alam sekitar dan Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 yang secara tidak langsung menyumbang ke arah pengurangan pelepasan karbon, kedua-duanya tidak mempunyai hubung kait dengan perubahan iklim.

Pensyarah Undang-undang Alam Sekitar di Kuliyah Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Prof Madya Dr Maizatun Mustafa yang juga ahli panel di forum itu menyatakan satu hubungan jelas antara EQA dan sasaran perubahan iklim diperlukan kerana ia saling berkaitan.

“Pada masa ini EQA meliputi alam sekitar dan pencemaran alam sekitar tetapi strategi undang-undang itu tidak langsung berkait dengan perubahan iklim kerana tiada peruntukan untuk perubahan iklim, definisi alam sekitar di bawah EQA tidak menyasarkan perubahan iklim,”

“Akta Tenaga Boleh Baharu juga tidak cukup kerana tenaga boleh baharu hanya menumpukan kepada mengurangkan bahan api fosil, walaupun ia juga penting,” katanya dan menambah fenomena perubahan iklim juga disumbangkan oleh sektor lain seperti pertanian dan perikanan.

Tahun lepas, dilaporkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam proses merangka satu undang-undang baharu untuk menggantikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara itu, Pegawai Penyelidikan Sosial untuk Institut Kajian Sosial Sains Universiti Putra Malaysia Dr Hayrol Azril Mohamed Shaffril berkata adalah penting bagi masyarakat untuk menyesuaikan diri sebagai respons kepada kesan perubahan iklim.

Bagaimanapun, penyesuaian itu bergantung kepada pergantungan seseorang kepada kestabilan alam semula jadi, dengan lebih banyak seseorang itu bergantung kepada kestabilan alam semula jadi lebih tinggi tahap penyesuaian diperlukan.

“Untuk seorang pekerja pejabat penyesuaian mungkin lebih ke arah keperluan kesihatan. Bagaimanapun, untuk mereka seperti petani atau nelayan, sudah tentu mereka lebih bergantung kepada kestabilan alam semula jadi, maka perlu lebih menyesuaikan diri. Mereka mungkin perlu menyesuaikan diri dengan menguasai kemahiran baharu untuk membantu mereka menjadi lebih berdikari dari segi kewangan apabila berhadapan perubahan iklim,” katanya.

Forum itu secara keseluruhan membincangkan pelan tindakan untuk mengatasi kesan perubahan iklim dan aktiviti antropogen ke atas persekitaran marin di Malaysia dan pembangunan dasar yang juga boleh memberi kesan kepada kehidupan dan kelestarian masyarakat, termasuk komuniti nelayan.

Selain daripada Maizatun dan Hayrol, penceramah lain adalah Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Penang Forum Khoo Salma Nasution.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda