
Laporan/foto: Salawati Mat Shariff (Seberang Perai Utara)
BUTTERWORTH, 21 Jan (MalaysiaAktif) – Hari Thaiponggal merupakan perayaan yang diraikan selama empat hari pada Bulan Thai dalam kalendar kaum India sempena berakhirnya musim menuai oleh masyarakat etnik Tamil dan sehubungan itu masyarakat India di sini turut meraikan Pesta Ponggal yang dilangsungkan di hadapan Kuil Mahamaryaman Devastanan, Jalan Jeti Lama.
Program anjuran Pusat Khidmat Bagan Dalam ini mendapat sambutan meriah kerana pelbagai acara menarik telah diadakan untuk pengunjung seperti persembahan silambam, kolam, pertunjukan bommalatam dan banyak lagi.
Adun Kawasan Bagan Dalam, Satees Muniandy gembira dengan sambutan yang diterima amat menggalakkan sambil beliau turut menjelaskan Ponggal dalam bahasa Tamil bererti ‘melimpah-ruah’ simbolik kepada keadaan susu lembu yang melimpah apabila dipanaskan dalam periuk tanah liat. Keadaan ini juga melambangkan rezeki yang banyak.
Sebagai simbolik kepada perayaan ini, ia dimulakan dengan memasak nasi manis berasaskan susu, gula perang, kacang gajus, kismis, minyak sapi dan beras.
Ketika memasak nasi ponggal, susu dimasukkan terlebih dahulu dalam periuk tanah, hanya selepas susu mendidih dan melimpah keluar, beras akan dimasukkan untuk memasak nasi tersebut. Menariknya, semua orang akan menjerit ‘ponggalo ponggal’ ketika susu mengalir keluar tanda simbolik limpahan kegembiraan dan kesejahteraan.
Thaiponggal bukanlah satu perayaan atau acara keagamaan kerana ianya diraikan secara tradisional semasa musim menuai sebagai tanda terima kasih.
Perayaan ini telah lama diraikan di Malaysia. Ianya juga harus dilihat sebagai satu acara untuk masyarakat kita mengeratkan lagi tali persahabatan dan menghormati budaya kaum lain. Secara tidak langsung ianya dapat mengeratkan perpaduan antara kaum.
Terdahulu, unit bergerak Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara telah mengadakan hebahan di sekitar kawasan untuk memasarkan maklumat kepada masyarakat tentang program tersebut dan turut mengambil kesempatan mengedarkan bahan-bahan penerbitan kepada orang ramai.
-ii-