Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Dasar dan Integriti Tinggi Berjaya Tarik Pelaburan – Amirudin

By 23 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Dasar yang terbuka serta integriti yang tinggi ditunjukkan kepimpinan persekutuan dan negeri berjaya menarik minat pelaburan asing melabur di negara ini khususnya di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata walaupun negara berdepan dengan berita-berita yang kurang baik, namun indeks kepercayaan pelabur terhadap kerajaan baharu masih tinggi.

“Sebenarnya selepas Pakatan Harapan mentadbir negara, ramai pelabur-pelabur membuat pelaburan di Malaysia sehingga nilainya bertambah sekali ganda berbanding kerajaan sebelum ini.

“Tahun lepas, sehingga bulan September negeri Selangor berjaya menarik pelaburan luar berjumlah RM16.4 bilion, merupakan negeri yang tertinggi di Malaysia mencatatkan angka tersebut,” katanya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) SungainTua, berkata ini membuktikan indeks dan kepercayaan pelabur kepada kerajaan sekarang yang dilihat bersungguh-sungguh inginkan sebuah kerajaan yang bersih.

“Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 juga menunjukkan Malaysia berada dalam kedudukan terbaik (tangga 51 berbanding tangga 61 pada 2018), merupakan pertama kali dalam tempoh 10 tahun.

“Indeks Demokrasi 2019 negara juga bertambah baik (meningkat sembilan anak tangga ke kedudukan 43) melalui beberapa keputusan yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 1,000 hadirin ketika berucap di Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Sungai Tua di Kampung Selayang Baharu, semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Yang diPertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Katanya, sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini kurang ceria berbanding sebelumnya kerana negara sedang berdepan dengan wabak COVID-19.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara-negara terbaik menguruskan wabak COVID-19.

“Ini membuktikan bahawa pentadbiran kerajaan pusat bersungguh melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda