
Laporan/Foto :Noorshazana Shaadan (Port Dickson) / Majlis Perbandaran Port Dickson.
PORT DICKSON, 27 Feb (Malaysiaaktif) – “Kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang ulasan, pandangan atau bantahan berkenaan projek-projek yang telah dirancang.”
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata orang awam memainkan peranan yang sangat penting dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) di sini kerana mereka bertindak sebagai pengguna bagi setiap cadangan pembangunan di dalam rancangan ini.
“Bagi memperkukuhkan Port Dickson sebagai Bandar Pelancongan Pesisiran Pantai bertaraf antarabangsa, sebanyak enam strategi pembangunan telah dirancang di dalam RKK ini iaitu Zon Pelancongan Pantai, Zon Pelancongan MICE (Meeting, Incentives, Conferencing and Exhibition), Zon Pelancongan Wellness, Zon Eko-Pelancongan, Zon Budaya Warisan dan Zon Komersial,” katanya ketika berucap merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Pesisiran Pantai Port Dickson di Tasik Villa International Resort di sini, pada Isnin.
Ujarnya lagi, individu atau organisasi yang mempunyai kepentingan dalam merancang dan membangunkan kawasan pesisiran pantai Port Dickson mempunyai hak untuk menyertai dan melibatkan diri dalam sesi publisiti dan penyertaan awam ini.
“Masyarakat sekitar boleh menyertai proses ini dengan memberi maklumbalas dalam apa bentuk sekalipun sama ada melalui borang yang disediakan, dalam bentuk memorandum, mahupun melalui e-publisiti,” katanya lagi.
RKK Pesisiran Pantai Port Dickson merupakan rancangan pemajuan yang disediakan untuk tujuan pelaksanaan dan dikategorikan sebagai RKK bagi pembangunan bandar serta pantai.
Pemeriksaan Draf RKK boleh dilakukan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Pejabat PLANMalaysia Negeri Sembilan dari 24 Februari hingga 24 Mac 2020 atau di roadshow Draf RKK yang akan diadakan di Regina Mall Port Dickson pada 25 Februari hingga 6 Mac 2020 dan di Tesco Lukut pada 9 hingga 24 Mac 2020.
Turut hadir, Ketua Pengarah PLAN Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Datuk TPr. Mohd Anuar Maidin.
-AK