Laporan/Foto : Noorshazana Shaadan (Port Dickson) / Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Biarpun menjejaki tahun 2020, tidak semua dapat menikmati kesenangan serta keselesaan kehidupan di ibu kota, ada yang sekadar memenuhi keperluan buat seketika dan kemudian kembali mencari rezeki esok harinya.
Sehubungan dengan itu, pelajar Politeknik Port Dickson melalui Pembimbing Rakan Siswa Politeknik Port Dickson telah turun padang bersama pertubuhan sukarelawan bagi memberikan bantuan makanan dan pakaian kepada golongan yang kurang berkemampuan di sekitar Kuala Lumpur.
Pegawai Psikologi Politeknik Port Dickson, Noor Asyikin Ahmad berkata beliau kagum melihat para pelajar mempraktikkan nilai-nilai murni dan ilmu asas pertolongan yang dipelajari di institusi.
“Pelajar turut menunjukkan keperibadian tinggi walaupun melaksanakan tugas dengan bimbingan yang minima dan saya yakin para pelajar sangat prihatin dengan nasib sebahagian masyarakat yang datang dari pelbagai latar belakang di sini,” katanya ketika ditemui di Program Secebis Kasih Sejuta Harapan, di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Program Secebis Kasih Sejuta Harapan, Mursyida, 20, berkata program seumpama ini dapat membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.
“Pihak kami melakukan semua ini dengan niat yang murni dan memberi sokongan supaya mereka dapat peluang untuk menjalani kehidupan mereka pada hari berikutnya,” katanya.
Tambahnya, melalui aktiviti seperti ini mereka dapat menyelami realiti sebenar kehidupan gelandangan di sini untuk dijadikan pengajaran dan membentuk jalinan hubungan yang baik antara masyarakat setempat.
“Dengan cara ini, kami memahami dan menyedari akan tanggungjawab sosial yang perlu disumbangkan kepada masyarakat,” ujarnya.
-AK