Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

KPKT Lulus 18 Projek Penyelenggaraan Perumahan Bernilai RM5 Juta

By 4 Februari 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan bernilai RM5 juta untuk 18 projek penyelenggaraan perumahan melalui Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen memaklumkan permohonan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) kepada KPKT tahun lalu dan peruntukan tersebut akan disalurkan kepada MPS.

“Sebanyak sembilan projek diluluskan di parlimen Selayang manakala selebihnya projek di parlimen Gombak, Damansara dan Sungai Buloh.

“MPS akan membuat taksiran dan penilaian semula sebelum tender secara terbuka pada bulan April dan dijangka mulai Mei penyelenggaraan akan bermula secara berperingkat,” katanya.

Katanya, projek-projek yang diluluskan itu dibuat oleh pihak KPKT mengikut kriteria-kriteria yang ditetapkan seperti JMB atau MC yang aktif.

“Kita sarankan agar perumahan pangsapuri seperti ini mengaktifkan JMB mereka supaya kerajaan dapat menyalurkan bantuan seumpama ini dapat dilakukan.

“Saya menyeru agar penduduk memberikan kerjasama menubuhkan JMB dan menjaga infrastruktur mereka supaya masalah perumahan pangsapuri dapat diselesaikan,” katanya.

Zulkefli menunjukkan keadaan bumbung pangsapuri Taman Pelangi yang rosak dan perlu dibaiki.

Zulkefli menunjukkan keadaan bumbung pangsapuri Taman Pelangi yang rosak dan perlu dibaiki.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat pula berkata sebanyak empat projek penyelenggaraan perumahan terlibat diluluskan dalam DUN beliau yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta.

“Perumahan tersebut adalah pangsapuri Las Palmas di Bandar Country Homes, pangsapuri kos rendah fasa 2 Taman Tun Teja, pangsapuri Desa Sri Bayu dan pangsapuri Taman Pelangi.

“Kebanyakan projek adalah membaiki bumbung disamping lain-lain seperti baiki lif, paip, pemegang tangga (hand rail), pendawaian elektrik, tangki air dan beberapa infrastruktur lain,” ujarnya.

“Ini adalah satu inisiatif kerajaan untuk mengembalikan keceriaan serta keselesaan penduduk dan tumpuan diberikan kepada golongan B40.

“Kita akan bantu JMB untuk memohon melalui tabung ini supaya lebih banyak peruntukan diluluskan di kawasan MPS pada masa hadapan,” katanya.

Mereka ditemui ketika melakukan tinjauan bersama kakitangan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPS di Taman Pelangi, Rawang hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MC pangsapuri Taman Pelangi, Zulkefli Che Lah, berkata pihaknya mewakili 200 unit rumah melahirkan rasa gembira apabila masalah bumbung yang dihadapi mendapat pembelaan.

“Masalah kebocoran bumbung ini berlaku sejak hampir enam tahun lalu apabila setiap kali hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung tercabut.

“Berita ini sangat menggembirakan kami setelah permohonan pernah dibuat sebelum ini, namun tidak diluluskan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda