
Laporan/ foto: S.Farisah / Sh.Nurrul (Kuantan)
KUANTAN, 4 Feb ( Malaysiaaktif ) – Selepas Kelantan, Terengganu dan Perlis, kini giliran Pahang dipilih bagi menerima Watikah Pelantikan Anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Negeri Pahang.
Majlis yang berlangsung di Bukit Gambang Resort City itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Dalam ucapannya beliau berkata, bagi negeri Pahang terdapat 14 parlimen yang melibatkan sejumlah 542 MPKKP dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah binti Salleh merupakan penyelaras MPKKP bagi negeri Pahang.
Jelasnya lagi, MPKKP dilihat berperanan merancang dan melaksanakan pelan pembangunan kampung dengan penglibatan komuniti setempat menggunakan pendekatan bottom -up approach ke arah mewujudkan kampung yang maju dan sejahtera.
Selain itu, ia turut berperanan membantu Kerajaan Persekutuan di negeri berkaitan dalam merancang pembangunan di peringkat kampung, menyalurkan maklumat keperluan pembangunan masyarakat kampung kepada Kerajaan Persekutuan di samping merealisasikan dasar-dasar Kerajaan Persekutuan di peringkat akar umbi melalui geran yang akan diberi.
Beliau turut berharap MPKKP dapat melahirkan komuniti luar bandar yang sejahtera, sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri, iaitu untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Sejurus selepas ucapan, beliau menyampaikan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Negeri Pahang kepada pengerusi yang dilantik seterusnya bergambar kenangan bersama mereka.
-KN