
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) mengambil inisiatif memperuntukkan sebanyak RM69 ribu kepada 19 persatuan sukan yang aktif di Labuan.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, peruntukan itu bagi memastikan tadbir urus persatuan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan sistematik sekali gus dapat sama-sama membantu melahirkan lebih banyak atlet berpotensi dari wilayah ini.
“Persatuan-persatuan sukan khususnya di Labuan ini diseru agar menyokong dan membantu usaha Majlis Sukan Wilayah Persekutuan memperkasa program pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan khususnya di sini.
“Pihak Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Majlis Sukan Wilayah Persekutuan akan sentiasa membantu dan menyokong Persatuan Sukan untuk terus berkembang,” katanya semasa merasmikan Karnival Sukan Wilayahku peringkat Labuan 2020, hari ini.
Penganjuran karnival itu katanya adalah salah satu program yang dilihat sangat dekat dengan rakyat dan ia bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Baginda berharap agar program- program sukan di Wilayah Persekutuan terus diperkasakan kerana ia merupakan wadah terbaik dalam menyatukan dan menyihatkan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.
“Malah, baginda juga berharap agar program pembangunan sukan tidak dilupakan dan lebih ramai atlet dari Wilayah Persekutuan dapat dilahirkan untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya lagi.
Tambah Khalid, sebanyak 11 acara sukan dipilih termasuk acara sukan yang menjadi kegemaran masyarakat Labuan bagi menarik penglibatan mereka sekali gus dapat mengumpulkan lebih ramai warga Labuan meraikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini.
“Saya amat berbangga dimaklumkan kira-kira 4,000 peserta mengambil bahagian menerusi semua acara sukan yang dianjurkan sekali gus menunjukkan warga Labuan tidak mengenal peringkat umur, jantina mahupun kaum mula sedar tentang aktiviti bersukan untuk terus sihat dan cergas,” tambahnya.
-SH