
Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)
MELAKA, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri terpaksa mengambil langkah untuk melaksanakan program bekalan air berjadual yang memberi kesan kepada 550,673 orang merangkumi 62.8 peratus pengguna.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, program bekalan air berjadual perlu dilaksanakan bagi mengelak terputusnya bekalan air.
Negeri ini mempunyai bekalan air yang cukup bagi sektor industri dan pelancongan dan apabila terputus bekalan, akan menyebabkan sebahagian sektor terhenti dan akan memberikan kesan kepada ekonomi.
“Selain itu, kerajaan negeri juga tidak akan berhenti berusaha melalui Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang telah mula dijalankan pada 8 dan 9 Februari lepas.
“Memang kadangkala operasi ini boleh berjaya atau gagal, tetapi kita di peringkat kerajaan negeri tidak akan sesekali berhenti dengan apa yang kita buat. Jika kita rasa ada ruang dan keperluan untuk memastikan negeri ini mendapat hujan melalui pembenihan awan, kita akan teruskan,” kata Adly.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga melalui perancangan jangka sederhana akan menaiktaraf Loji Air Merlimau yang dijangka dapat menampung 110 juta liter air sehari berbanding 55 juta air sehari ketika ini akan meningkatkan kapasiti loji sehingga 50 peratus dan projek ini dan dijangka siap pertengahan tahun ini.
Selain itu, projek naik taraf Loji Air Sungai Siput berkapasiti 9 juta liter air sehari yang telah bermula pada pertengahan tahun lalu dijangka dapat mula beroperasi pada akhir Mac ini dan memenuhi keperluan pengguna di kawasan Masjid Tanah dan Lubok Cina.
Bagi perancangan jangka panjang pula, kerajaan negeri akan memulakan projek Empangan Sungai Jerneh berkapasiti 13,000 juta liter air bernilai hampir RM200 juta pada tahun ini dan ia bakal menjadi empangan keempat di negeri ini. Projek yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) sebelum ini telah menghadapi beberapa masalah namun kerajaan negeri optimis ia dapat diatasi dan dilaksanakan segera.
Selain itu, kerajaan negeri akan memulakan projek membekalkan air daripada Tasik Biru di Jasin ke Empangan Durian Tunggal yang dianggarkan dapat membekalkan sehingga 200 juta liter air sehari dan RM35 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaannya.
Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM 3 juta untuk memulakan projek penyulingan air laut untuk kegunaan di Pulau Besar yang dapat membekalkan 240,000 liter air sehari dan langkah ini dilihat lebih efektif daripada mengadakan paip dari daratan ke pulau berkenaan.
Kerajaan negeri tidak hanya berpeluk tubuh dan berserah kepada takdir semata-mata malah telah berusaha sehabis baik untuk memastikan rakyat negeri ini dapat menikmati bekalan air berterusan bukan setakat hari ini, bahkan untuk masa depan.
Pelbagai usaha telah diambil bagi memastikan rakyat terus menikmati bekalan air bersih walaupun terpaksa menghadapi keadaan kurang selesa seperti ketika ini.
Adly Zahari menyeru rakyat negeri ini untuk berlapang dada dan terus bersama dengan kerajaan negeri dalam memastikan usaha-usaha yang diambil dapat membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
-KN