
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Inisiatif Memperkasa Miskin Bandar, Membina Wilayah Gemilang merupakan fokus Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi tahun 2020.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad, berkata sebagaimana yang diputuskan dalam resolusi Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar, KWP sedang dalam penyediaan Pelan Induk bagi menangani isu miskin bandar ini dalam masa enam ke sembilan bulan.
“Kementerian dan Perbadanan Labuan turut memperbanyak pelaksanaan program di bawah Inisiatif Wilayah Peduli bagi peningkatan kesejahteraan dan pembangunan sosio ekonomi penduduk Labuan seperti yang baharu sahaja dijalankan baru-baru ini iaitu Ziarah Kasih.
“Melalui pendekatan ini kementerian percaya bahawa isu kemiskinan bandar di Wilayah Persekutuan akan terbela,” katanya semasa merasmikan Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Labuan 2020, di sini hari ini.
Menurut Khalid, Labuan juga sedang dalam persediaan untuk menjadi sebuah pulau pintar sejajar dengan Cetakan Biru Pembangunan Labuan 2030.

Khalid (kanan) sempat menyampaikan bahan penerbitan Jabatan Penerangan semasa mengunjungi gerai makanan.
“Selain itu, Rancangan Kawasan Khas Pelancongan Labuan yang disediakan oleh PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar & Desa) juga telah mengenalpasti Labuan sebagai destinasi pelancongan pintar.
“Seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan perhubungan, kemudahan infrastruktur digital Labuan juga akan di dipertingkatkan selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan akan dilengkapi dengan teknologi generasi kelima (5G),” katanya lagi.
Khalid turut menegaskan, dengan pelaksanaan 5G di Labuan ini kelak akan mempercepatkan pembangunan wilayah ini sebagai pulau pintar serta memberikan impak positif kepada ekonomi pulau ini bagi tempoh jangka masa panjang.
“Pelan transformasi ini juga akan menjadikan Labuan sebagai pusat ekonomi serantau bersepadu yang berdaya saing untuk memberikan perkhidmatan perniagaan, pelaburan dan pengantaraan yang lebih baik di rantau ini termasuk pasaran Malaysia Timur serta Asia,” tambahnya.
-SH