Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Program Sampah Jadi Duit dapat menggalakkan orang ramai terutama komuniti setempat di sesuatu kawasan untuk menjaga kebersihan dengan mengitar semula sampah seterusnya dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan.
Program yang berlangsung separuh hari di perkarangan dewan surau Jalan Sepakat, Kampung Melayu Batu 16, dikendalikan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Para peserta ditunjukkan kaedah membuat lilin hiasan daripada minyak masak terpakai, ecobrick daripada bahan-bahan plastik, tote bag daripada baju terpakai dan cara membuat baja kompos.
Seorang pesara, Shamsiah Othman, 67, berkata program tersebut sangat baik untuk diamalkan semua penduduk supaya dapat menjaga alam sekitar di samping boleh menjana ekonomi.
“Ilmu yang diberikan pada hari ini sangat bagus dan boleh dimanfaatkan bersama ahli keluarga masing-masing.
“Insya Allah saya akan praktikkan di rumah supaya bahan-bahan terbuang ini dapat diguna semula daripada merosakkan alam sekitar,” katanya.
Seorang lagi peserta, Zuliana Kiefli, 34, berkata sebelum ini beliau tidak pernah mendapat pendedahan tentang cara memanfaatkan bahan-bahan kitar semula seumpama ini.
“Terima kasih kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang memberi peluang kepada penduduk kampung mendapat ilmu yang sangat berguna ini.
“Di samping dapat menjaga alam sekitar, ianya boleh menjadi sumber ekonomi kepada keluarga,” katanya yang merupakan suri rumah.
Sementara itu, Pengerusi MPKK Kampung Melayu Batu 16, Ir Adnan Ahmad, berkata Program Sampah Jadi Duit bermatlamat memberi pengetahuan untuk penduduk agar menjaga alam sekitar.
“Pengurusan sampah yang berkesan dapat memberi manfaat kepada penduduk, sebelum ini sampah-sampah ini dibuang sahaja.
“Namun melalui program ini, masyarakat ditunjukkan bahawa sampah-sampah itu ada nilai sekiranya dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Selepas ini, kita akan kumpulkan produk-produk yang dihasilkan penduduk kampung untuk dipasarkan ke kawasan sekitar dan menjadi sumber ekonomi,” katanya yang juga Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia (KHM).