
Laporan/foto: Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah bersama-sama Perpustakaan Awam Daerah Bandar Baharu melaksanakan Program Menggamit Memori: Bicara Pejuang bagi memberi ruang generasi hari ini mengingati sejarah pejuang-pejuang yang berjuang bermati-matian menentang ancaman komunis.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (PAHLAWAN) Megat Radzi Omar, berkata program ini baik dalam memberi pendedahan kepada generasi muda tentang susah-payah perjuangan perajurit, pasukan keselamatan terutama askar Melayu dahulu yang bermati-matian mempertahankan negara daripada ancaman komunis, sehingga ada yang terbunuh di medan pertempuran.
“Selain daripada itu, anak muda hari ini sepatutnya lebih prihatin, memperingati betapa susah dan sengsaranya detik-detik cemas yang dilalui perajurit kita dahulu, jadikan ianya pengajaran agar generasi muda hari ini tidak asyik dengan kemewahan dan selesa tanpa sebarang ancaman,” katanya sempena program tersebut, di sini semalam.
Seorang tokoh pejuang, Mohd Zain Md Noh, yang berkongsi pengalamannya menyifatkan program seperti ini perlu dihadiri lebih ramai golongan muda, agar mereka dapat berinteraksi dan menghargai jasa dan pengorbanan bekas perajurit kita dahulu, dan jadikan pengalaman bekas perajurit sebagai iktibar untuk masa depan negara kita.
“Jasa dan pengorbanan pejuang tanahair kita yang menggalas tanggungjawab menjaga keamanan negara daripada ancaman musuh komunis suatu ketika dahulu tidak terbalas oleh kita.
“Bukan semua daripada kita hari ini yang berpeluang berkongsi pengalaman serta susah payah pejuang tanahair yang berkorban keringat, nyawa dalam mempertahankan negara daripada ancaman musuh pengganas ketika itu,” katanya.
-SH