
Laporan/foto: Mohd Alihanafiah Mohd Khairy/Arul Perumal (Teluk Intan)
TELUK INTAN, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Jelajah Sembang Santai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong punyai tarikan tersendiri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, Sembang Santai @Changkat Jong ini istimewa kerana turut dihadiri oleh Pegawai Daerah (DO) Hilir Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik dan Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Ismail Ibrahim selain Penyelaras DUN Changkat Jong, Mohammad Faizul Mohamed Ismail.
“Sokongan yang diberikan oleh Tuan DO dan YDP ini merupakan suatu kelainan sepanjang lapan kali program ini diadakan di seluruh negeri,” katanya ketika berucap pada program terbabit di Kg. Bahagia, di sini semalam.
Hasnul turut menjelaskan penerangan kepada orang ramai tentang bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan negeri yang mana merupakan hasil kecekapan kerajaan ini dalam mengurus dan menjana ekonomi tempatan.
“Antaranya kerajaan negeri bakal menghantar 1,000 orang asnaf untuk mengerjakan umrah pada tahun ini dan sekiranya keadaan ekonomi negeri makin meningkat, lebih ramai lagi akan dibawa ke tanah suci pada tahun hadapan.” ujarnya.

Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Hilir Perak turut melangsungkan aktiviti pengedaran risalah serta penjelasan secara bersemuka kepada pengunjung, melalui Program Info on Wheels (IOW).
Hasnul turut menyentuh pemberian kad Perak prihatin, yang telah ditingkatkan daripada 17,000 kepada 20,000 orang penerima bagi tahun ini.
“Kerajaan memperuntukkan kuota sebanyak 3,000 penerima kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penyelaras DUN untuk diberikan kepada penduduk di kawasan masing-masing bagi memastikan rakyat yang susah namun tidak tersenarai dalam mana-mana pengkalan data untuk turut dibantu,” katanya lagi.
Pada majlis sama, Pejabat Penerangan Daerah Hilir Perak turut menjalankan Program Info on Wheels (IOW), penyebaran maklumat berkaitan Skim Peduli Kesihatan Golongan B40 (PeKa B40), skim MySalam dan e-Tunai Rakyat.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Hilir Perak, Juhannis Idris, program IOW ini selaras dengan peranan Jabatan Penerangan untuk menjelaskan progam serta dasar kerajaan kepada orang ramai.
“Masih ada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang masih tidak sedar tentang manfaat serta tatacara memohon skim MySalam dan PeKa B40.
“Justeru melalui program ini, penerangan dapat disampaikan secara bersemuka dan penjelasan yang lebih mendalam dapat diberikan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui sempena program.
-SH