
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Masyarakat di sini diseru agar memberi sumbangan kepada persatuan-persatuan kebudayaan yang aktif di Labuan.
Menurut Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, sumbangan tersebut bukan sahaja dalam bentuk dana kewangan malah sumbangan idea atau kemahiran yang boleh membantu pembangunan persatuan.
“Diharap kita ramai-ramai dapat membantu persatuan kebudayaan seperti Persatuan Kadayan Labuan (WAKAL) kerana sumbangan ini akan berkekalan kerana persatuan ini boleh hidup dari generasi ke generasi sekaligus membantu pembangunan persatuan yang berterusan.
“Sumbanglah dengan ikhlas dan sepenuh hati bagi menjamin kebahagiaan hidup kita serta menjadikan persatuan kebudayaan seperti ini terus aktif menjalankan pelbagai program yang berguna kepada masyarakat,” katanya semasa merasmikan Program Bahimpon Bapaadian anjuran WAKAL di Balai Raya Kampung Sungai Miri, baru-baru ini.
Selain itu, program tersebut katanya mampu mempelbagaikan produk pelancongan yang berteraskan tradisi dan budaya etnik yang ada di Labuan.
“Kita perlu perbanyakkan produk-produk pelancongan yang berasaskan kekayaan etnik-etnik agar ia terus berkembang dan tidak akan hilang untuk tatapan generasi baharu serta para pelancong luar.
“Program ini juga membolehkan Labuan sudah bersiap sedia dengan kekuatan produk pelancongan ketika momentum sektor pelancongan di pulau ini berada pada tahap yang baik sekali gus menjadikan Labuan lebih berwarna-warni dengan acara kebudayaan daripada kepelbagaian etnik yang ada,” katanya lagi.
Pada program berkonsepkan padian (saudara) di dalam rumpun etnik Kadayan itu, pelbagai acara diadakan antaranya memancing tradisi jahuan som-som dan zumba unggat-unggat dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan bamukun oleh kumpulan Watan Labuan.
-SH