
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Seorang lelaki disangka mahu terjun bangunan sebenarnya suspek dikehendaki polis bagi kes ugutan jenayah terhadap isterinya dalam kejadian di Pangsapuri Taman Selayang Mulia, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pusat kawalan menerima panggilan daripada orang awam jam 5. 30 petang mengenai cubaan suspek yang juga pemandu lori itu untuk terjun bangunan.
Menurutnya, suspek berumur 38 tahun itu cuba melarikan diri daripada pihak polis yang ingin menangkapnya kerana disyaki terlibat di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian serta mempunyai rekod jenayah dan dadah.
“Selepas ditangkap suspek juga didapati memiliki sebuah motosikal curi yang diletakkan di bawah pangsapuri tersebut yang dilaporkan hilang sejak 2014,” katanya.
Katanya, suspek telah ditahan untuk siasatan dan akan direman pada hari ini.
-NAZ