
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Shahrir Mohd Nor (Bachok)
BACHOK, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Tembikai atau nama botaninya dipanggil Citrullus lunatus yang juga dikenali sebagai Timun Cina di Pantai Timur amat sinomim dengan para petani di sini di mana ia merupakan pokok menjalar (memanjat dan melata) yang berasal dari selatan Afrika dalam keluarga Cucurbitaceae.
Menurut Pegawai Pertanian Bachok Nadea Muhd Nordin, penanaman tembikai di Jajahan Bachok terbahagi kepada dua kluster, kluster pertama di Zon Kandis, Beris Lalang seluas lebih kurang 200 ekar dan kluster kedua di Zon Gunong seluas lebih kurang 150 ekar.
“Setiap ekar mampu menghasilkan hampir 10 tan tembikai dan purata pengeluaran tembikai semusim sekitar 8,000 tan dan bagi setiap ekar pengeluaran tembikai ia mampu memberikan pendapatan kasar sekitar RM10,000 bergantung pada harga pasaran semasa.
“Ada kalanya ketika pengeluaran tempatan terlalu banyak dan ditambah pula terdapat pengeluaran tembikai di lain-lain kawasan ia akan mempengaruhi harga jualan tembikai tersebut, ada kemungkinan fenomena itu terjadi namun hingga kini harga buah tembikai masih stabil kerana permintaan agak tinggi dari luar Kelantan seperti Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya ketika dikunjungi Malaysiaaktif, baru-baru ini.
Menurut Nadea, tembikai adalah sejenis buah tropika yang tergolong dalam keluarga labu, petola, timun dan peria yang dipercayai berasal dari kawasan tropika di Benua Afrika dan diperkenalkan ke kawasan Mediterranian dan Asia, di antara pengeluar tembikai yang utama ialah Itali, Turki, Amerika Syarikat, China dan Rusia.
“Di Bachok penanaman tembikai ini merupakan satu aktiviti pertanian yang sudah pun bertapak sejak sekian lama dan ada yang mengatakan penanaman tembikai di sini telah pun memasuki era setengah abad malah telah menjadikan Bachok terkenal sebagai pusat pengeluaran utama tembikai di Kelantan.
“Penanaman tembikai telah membuka peluang usahawan pertanian kepada penduduk di sini dengan bantuan dan tunjuk ajar Jabatan Pertanian Bachok,” katanya lagi.
-NAZ