Laporan/foto: Mohd Sukri Ismail (Machang)
MACHANG, 10 feb (Malaysiaaktif) – Seramai enam Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) melibatkan enam mukim di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Temangan, Machang, Kelantan telah hadir dalam satu ‘Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Setempat’.
Menurut Pegawai Operasi Kemas Daerah Machang, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Mahiza Mohd Nor, di kawasan Temangan penubuhan MPKKP telah diletakkan di bawah penyelarasan pihak Kemas.
“Adalah menjadi tanggungjawab pihak KEMAS untuk melicinkan pengurusan MPKKP di setiap kawasan.
“MPKKP akan melantik 11 lagi ahli jawatankuasa yang akan diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat di bawah, penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi penambahbaikan fungsi dan peranan MPKKP,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Penyelaras DUN Pulai Chondong Kamaruddin Ab Kadir, pula berkata pengurusan MPKKP akan terus turun padang bagi bertemu dengan rakyat dalam usaha untuk menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan.
“Masih ramai lagi rakyat di bawah yang tidak mengetahui tentang bentuk bantuan yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu golongan rakyat yang tidak berkemampuan terutama yang berada jauh di pedalaman.
“Sebagai contoh bantuan e-Kasih, boleh dikatakan ramai rakyat yang layak untuk menerimanya tetapi mereka tidak mengetahui cara untuk memohon bantuan tersebut.
“MPKKP akan terus turun ke bawah untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan untuk membantu mendapatkan setiap bantuan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan tanpa mengira fahaman politik,” kata Kamaruddin.
Pendekatan turun padang oleh Pengerusi MPKKP untuk menemui rakyat di peringkat akar umbi ini bertujuan mendengar sendiri setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dan runggutan serta masalah itu akan dibawa ke peringkat atasan untuk diselesaikan.
– NAZ