
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Shahrir Mohd Nor (Bachok)
BACHOK, 10 Feb (Malaysiaaktif)– Ramai yang tidak mengetahui bahawa pertanian mampu mengangkat taraf hidup seseorang dan mengeluarkan mereka dari ruang kemiskinan dimana dunia pertanian sentiasa dipandang sepi dan kurang mendapat perhatian kerana terpaksa bergelumang dengan keringat dan kekotoran.
Menurut Aripin Ismail, 59, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Aripin, untuk memulakan sesuatu itu bukanlah mudah, banyak kisah pahit getir ditempuhi bagi menjayakan penanaman tembikai serta sayur-sayuran ini.
“Serangan penyakit tanaman, masalah kejatuhan harga komoditi namun begitu dengan sokongan isteri tercinta dan semangat ingin maju, saya tetap terus berbakti kepada tanah tanpa jemu, setelah 30 tahun membanting tulang dan memerah keringat kini bolehlah dikatakan berjaya.
“Sekarang saya mampu menyewa tanah orang lain untuk diusahakan dengan pelbaga tanaman tembikai seluas 30 ekar di sekitar Bachok, seperti tembikai merah, tembikai kuning dan tembikai susu bagi pasaran dalam dan luar Kelantan dan tambah mengujakan, salah seorang anak saya turut berminat dan mengikut jejak langkah saya menceburkan diri dalam bidang pertanian ini sejak 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di tapak semaiannya, di sini baru-baru ini.
Aziz Aripin, 38, menyatakan bidang pertanian ini sebenarnya mampu dijadikan salah satu punca pendapatan utama dan jika dilakukan dengan betul dan bersungguh-sungguh pasti hasil yang diperolehi tidak mengecewakan.
“Saya sudah 10 tahun berusaha bersama orang tua dan mendapat hasil dari pertanian ini untuk menyara keluarga dan menyediakan keperluan pendidikan anak-anak dan stigma malu untuk bergelumang dengan kekotoran dan merasa rendah diri sebagai seorang petani haruslah dibuang jika mahu berjaya dalam bidang pertanian ini.
“Sekarang kami mampu menghasilkan jualan Tembikai sehingga RM30,000 bagi semusim yang diusahakan, ”katanya.
-NAZ