Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Ziarah Kasih Dekati Golongan Memerlukan

By 22 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Mohd Afnan Hakimi Ab Aziz (Marang)

MARANG, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Program Ziarah Kasih anjuran Pertubuhan Kebajikan Angkatan Progresif Malaysia (PKAP) merupakan langkah proaktif yang diambil bagi menelusuri dan menyelami kesukaran golongan yang memerlukan dengan lebih dekat.

Sebanyak 10 buah keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf telah menerima sumbangan barang keperluan harian sempena Program  Ziarah Kasih-Agihan Bahan Keperluan Asas di sekitar Daerah Marang.

Petugas PKAP menyusun barangan keperluan untuk diagihkan kepada asnaf yang terpilih

Petugas PKAP menyusun barangan keperluan untuk diagihkan kepada asnaf yang terpilih.

Mereka yang terpilih merangkumi aspek keperluan antaranya, mempunyai ahli keluarga yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU), kematian suami atau isteri, warga emas dan mereka yang berstatus ibu tunggal.

Bentuk sumbangan keperluan harian yang dihulurkan adalah seperti beras, minyak masak, gula dan bahan makanan.

Sumbangan kepada golongan asnaf

Sumbangan kepada golongan asnaf.

Program yang  berlangsung bermula jam 5.00 petang itu turut disertai oleh 20 orang ahli PKAP, Penghulu Mukim Bukit Payong (Wakaf Tapai) Ahmad Jauzy Abd Rahman, Ketua Balai Polis Wakaf Tapai, Sarjan Mejar Abd Aziz Mohd Latif dan Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tambak Baru.

Setiausaha Pusat PKAP Malaysia, Mohd Afnan Hakimi  berkata, program ziarah kasih ini adalah program bulanan bagi PKAP Malaysia dan akan dilaksanakan  di semua negeri di seluruh negara.

Sumbangan kepada warga emas

Sumbangan kepada warga emas

Tujuan utama ziarah kasih diadakan adalah untuk membantu golongan yang memerlukan di samping mengeratkan hubungan antara ahli dan masyarakat.

“Selalunya, kita akan ambil 10 buah keluarga melalui nama yang diberikan oleh Penghulu Mukim dari Portal Pembasmian Kemiskinan e-Kasih yang dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri, katanya.

Tulang belakang program ziarah kasih bergambar usai program

Tulang belakang program ziarah kasih bergambar usai program

Menurut Penghulu Mukim Bukit Payong (Wakaf Tapai), Ahmad Jauzy Abd Rahman, sumbangan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) sangat diperlukan sebagai tambahan bantuan yang disalurkan oleh Pejabat Daerah dan jabatan kerajaan yang berkaitan.

Beliau berharap agar program ini dapat terus diperluaskan di semua daerah dan pihak Pejabat Daerah akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya bagi membantu golongan yang memerlukan.

-ii-

Tinggalkan komen anda