Laporan/foto: Sarah Abdul Halim/Juliana Ibrahim (Kulim)
KULIM, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Perpaduan antara kaum di Malaysia menjadi tarikan utama negara asing berkunjung ke Malaysia dan menjadi tonggak utama pembangunan negara.
Menurut Exco Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat India, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah Sammugan Rengasamy, berkata nilai perpaduan yang dikecapi sekarang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.
“Perpaduan merupakan khazanah yang membangunkan sosial ekonomi negara dan seharusnya dipelihara sepenuh jiwa
“Saya juga menyeru kesemua 81 buah Komuniti Rukun Tetangga Daerah Kulim untuk menggerakkan tenaga kerja dengan mengadakan program dalam kawasan komuniti masing-masing bagi mengukuhkan ikatan perpaduan sesama jiran,” katanya ketika merasmikan Program Kasih Komuniti Cintakan Perpaduan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Kedah Rohai Zahar Nedi, berkata program hari ini bukti semangat perpaduan masih utuh dalam kalangan masyarakat hari ini.
“Inisiatif Jabatan Perpaduan Daerah Kulim Bandar Baharu hari ini perlu dibanggakan dalam menghubungkan jabatan kerajaan dan masyarakat bagi memupuk semangat perpaduan melalui aktiviti pameran, perkhidmatan, pertandingan dan jualan tanpa mengira kaum.
“Maka janganlah kita mencari perbezaan yang boleh mencetuskan ketegangan, sebaliknya perlu meraikan kejayaan kerana melalui program hari ini, masyarakat dapat berkumpul bersama membuktikan program sebegini mampu menjadi titik persamaan antara kita,” katanya.
-SH