
Laporan / Foto : Muhammad Naim Mohd Shaari / Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)
JEMPOL , 8 Mac (Malaysiaaktif) – Penjawat awam digesa menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi kerana perkhidmatan awam pada masa ini adalah lebih mencabar kerana ekpektasi rakyat telah meningkat selain arus penggunaan teknologi maklumat yang berkembang pesat.
“Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua warga kerja perkhidmatan awam di daerah Jempol untuk kekal relevan dengan perubahan yang berlaku dan sentiasa meningkatkan tahap perkhidmatan awam ke arah yang lebih baik,” demikian amanat sulung yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Jempol, Sharul Nizam Salleh, di sini pada Jumaat.
Menurut Sharul Nizam, sebagai anggota perkhidmatan awam yang bertugas di daerah tersebut, mereka merupakan kakitangan awam barisan hadapan yang akan memastikan semua dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik serta kecekapan dan keberkesanan kerajaan yang memerintah akan dinilai melalui usaha dan tindakan yang kita laksanakan.
“Semua penjawat awam perlu mengamalkan tiga prinsip utama ini iaitu agama sebagai asas panduan, keduanya mempunyai integriti yang baik dan yang terakhir ialah mengamalkan prinsip neutraliti dan kekal berkecuali semasa menjalankan tugas dimana penjawat awam perlu melaksanakan tugas tanpa takut dan menyebelahi mana-mana pihak,” ujarnya
Tambah beliau lagi, misi dan faktor penentu kejayaan dalam mencapai sasaran kerja tidak akan lengkap sekiranya semua penjawat awam tidak mengamalkan nilai-nilai yang baik semasa berkhidmat.
Perhimpuan bulanan tersebut dihadiri lebih kurang 300 orang penjawat awam yang terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan dalam daerah Jempol dan dalam masa yang sama hebahan dan edaran berkaitan risalah langkah pencegahan Covid-19 turut diberikan oleh Pejabat Penerangan Daerah Jempol.
-AK