Laporan/Foto : Noorshazana Shaadan (Port Dickson) dan Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson) / KPDNHEP
PORT DICKSON, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Food Bank Siswa telah membuka lembaran baharu dan sejarah apabila bantuan makanan kepada anak-anak siswa kini telah diperluaskan ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan juga rangkaian Politeknik seluruh negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata pelaksanaan Program Food Bank Malaysia ini mempunyai tiga rukun utama iaitu Penyumbang, Penggerak dan Penerima.
“Inisiatif ini berkonsepkan ‘Daripada Mahasiswa kepada Mahasiswa’ di mana kita mengalu-alukan pelajar yang ingin terlibat dalam menjayakannya terutamanya dari persatuan-persatuan pelajar untuk sama-sama membantu golongan pelajar yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pelancaran Food Bank Siswa Peringkat Negeri Sembilan di Politeknik Port Dickson, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, sehingga Februari tahun ini, program tersebut telah dilancarkan ke 24 buah IPT dan sebanyak 12,551 pelajar telah menerima manfaat daripada program ini.
Beliau turut menggesa agar penggerak mahasiswa yang menyelia Food Bank Siswa lebih proaktif untuk memastikan bekalan mencukupi dan mengelakkan berlakunya perkara terputus bekalan makanan.
Sementara itu, Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad, berkata JPPKK telah menyasarkan setiap Politeknik dan Kolej Komuniti mengenalpasti mahasiswa dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bagi menerima bantuan menerusi program tersebut.
“Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membantu golongan B40 ini, JPPKK telah memfokuskan beberapa tindakan dan inisiatif di peringkat institusi dan sehingga kini hampir 44 peratus politeknik telah mempunyai kaunter masing-masing dan penganjuran program Food Bank Siswa di bawah KPDNHEP ini merupakan kesinambungan yang sangat baik daripada program sedia ada yang telah dilaksanakan oleh pihak politeknik,” katanya.
Politeknik Port Dickson merupakan kampus politeknik ketiga yang melancarkan program tersebut tahun ini dan seramai 300 orang pelajar telah dikenal pasti untuk menerima bantuan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Abdul Wahab Long, Pengarah Politeknik Port Dickson, Roslee Yahya dan Pengarah Pejabat KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman,
-AK