Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Dua Masjid di Sarawak Terima Anugerah Lima Bintang Penarafan Bintang Masjid

By 5 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad/Mahmud Sulaiman (Sarawak)

KUCHING, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkenan menyampaikan Anugerah Penarafan Bintang bagi masjid di Negeri Sarawak.

Menurut Abang Johari, kriteria penerima standard Penarafan Bintang Masjid Negeri Sarawak ini dinilai dari segi indikator kepada pengurusan masjid yang cemerlang dan mekanisma seragam penarafan tahap pengurusan, pengimarahan, kebersihan dan keceriaan masjid.

“Masjid yang mendapat anugerah penarafan lima bintang dalam standard Penarafan Bintang Masjid Negeri Sarawak bagi tahun 2019 ialah Masjid An-Nur Bahagian Sibu dan masjid Darul Istiqamah, Kampung Luak Miri,” katanya ketika merasmikan Majlis Wawasan Ummah Gemilang MIS 20-30, di sini semalam.

Dalam pada itu, Abang Johari turut berpesan kepada ibu bapa untuk mengukuhkan institusi keluarga dengan menangani krisis rumah tangga dengan baik agar tidak memberi kesan negative kepada perkembangan anak-anak.

Abang Johari (tiga dari kanan) ketika merasmikan Majlis Wawasan Ummah Gemilang Majlis Islam Sarawak 20-30 sambil disaksikan oleh Junaidi (kanan), Misnu (empat dari kanan) dan Asfia (tiga dari kiri).

Abang Johari (tiga dari kanan) ketika merasmikan Majlis Wawasan Ummah Gemilang Majlis Islam Sarawak 20-30 sambil disaksikan oleh Junaidi (kanan), Misnu (empat dari kanan) dan Asfia (tiga dari kiri).

“Peranan kedua ibu bapa atau keluarga dalam membentuk ummah gemilang adalah sangat penting kerana keluarga adalah membentuk masyarakat dan masyarakat Islam terbentuk daripada keluarga-keluarga Islam maka strategi memperkukuhkan institusi keluarga amat perlu, agar krisis rumah tangga yang memberi kesan yang mendalam kepada anak-anak dapat dibendung dan ditangani dengan baik.

“Di samping itu, Islam mengajar kita untuk berlaku adil, maka kita mesti berlaku adil, sentiasa menunjukkan sifat saling menghormati dan mencintai keamanan,” katanya lagi.

Lebih 1500 orang hadir Seminar Jerayawara Wawasan Ummah Gemilang MIS 20-30 terdiri daripada ketua-ketua masyarakat, ahli-ahli jawatankuasa pengurusan masjid/surau, wakil pertubuhan-pertubuhan daerah kecil/kampung, penduduk kampung dan pelajar sekolah.

Sebanyak tujuh buah masjid diraikan termasuk lima masjid yang mendapat anugerah empat bintang iaitu Masjid At-Taqwa Kampung Pinang Jawa Kuching, Masjid Nurir Rahmani Kampung Santubong, Masjid Al-Muhajirin Kampung Salim Sibu, Masjid Darul Amilin Permai Sibu dan masjid Ar-Rayyan, Bandar Baru Permai Jaya, Miri.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

-SH

Tinggalkan komen anda