Laporan/Foto : Ramasamy Amas / Muhammad Naim Mohd Shaari (Jempol)
JEMPOL, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Kemelut pemilikan tanah yang telah melanda peneroka Kampung Serampang Indah GATCO selama lebih 40 tahun akhirnya berakhir dengan seramai 170 daripada 400 orang peneroka menerima surat hak milik daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Dewan Pejabat Daerah Jempol, di sini pada Selasa.
Aminuddin dalam ucapannya mengimbau kembali sejarah Kampung Serampang Indah yang bermula dengan pemberimilikan tanah kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) pada tahun 1957 dan seterusnya diberikan pajakan kecil kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Berhad (GATCO) pada tahun 1977 untuk tanaman tebu bagi Syarikat Gula Negeri Sembilan Berhad.
“Selain dijadikan kawasan tanaman tebu, GATCO juga pernah menggantikan kawasan ini sebagai tempat tanaman getah dan kelapa sawit di atas kawasan seluas 3,934 ekar serta telah melalui beberapa proses pindah milik sehinggalah syarikat itu diisytihar muflis dan dibida oleh syarikat Thamarai Holding Sdn Bhd,” katanya.
Tambah beliau lagi, Thamarai Holding telah bermurah hati dan bersetuju untuk menawarkan dua hingga empat ekar tanah kepada keluarga pekerja asal ladang tebu di Kampung Serampang Indah GATCO yang melibatkan tanah seluas 1,206 ekar sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Dalam pada itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong, pihak kerajaan negeri sentiasa memberi keutaman kepada rakyat Negeri Sembilan.
“Walaupun isu pemilikan tanah GATCO telah berlarutan sekian lama tetapi kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah tersebut dan hasilnya dapat dinikmati bersama,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, wakil penerima hak milik, R. Papiyah dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan, PKNNS dan Pentadbir Tanah Jempol serta Thamarai Holding yang telah bekerjasama dalam pemberian hak milik tanah kepada peneroka asal.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Zulkefly Mohamad Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malek, Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Sembilan dan Pegawai Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh.
-AK