Laporan/foto: Wan Hashim Wan Muhamad/Wan Shahilawati Wan Baharuddin (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan (DSP) Zainuddin Md Yusuf, berharap agar orang awam memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada melihat individu atau kumpulan yang menampal poster pinjaman wang haram tidak berlesen.
Menurut DSP Zainuddin, tindakan pemberi pinjaman tidak berlesen atau Ah Long ini akan menampalkan iklan di tempat awam yang mempengaruhi orang awam untuk membuat pinjaman dengan pelbagai tawaran menarik.
“Banyak iklan Ah Long yang ditampal pada papan tanda jalan, pokok, dan tiang lampu ini boleh mengakibatkan orang ramai mudah terpengaruh untuk membuat pinjaman ini.
“Saya berharap agar orang ramai tidak mudah percaya dengan tawaran pinjaman ekspres dan menjadi mangsa peminjam wang haram kerana mereka sering mengenakan kadar faedah yang tinggi dan sentiasa akan menindas peminjam,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, seorang pekerja institusi perbankan Mohd Zakre Ismail, 54, berkata orang ramai yang berhasrat membuat pinjaman perlu selidik terlebih dahulu samada institusi kewangan tersebut dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau sebaliknya.
“Dapatkan nasihat pinjaman perbankan yang berdaftar terlebih dahulu sebelum terjebak dengan Ah Long” katanya.
-NAZ/SH