
Laporan/Foto : Jamilah Binti Sulaiman Nasution (Seremban)
SEREMBAN, 29 Feb (Malaysiaaktif) – Kanser prostat merupakan antara penyakit kanser yang paling kerap dihidapi oleh golongan lelaki.
Laporan Registri Kanser Kebangsaan mendapati sebanyak 183 kes kanser prostat telah dicatatkan di Negeri Sembilan sepanjang tempoh tahun 2012 hingga 2016 dan lebih separuh daripada kes adalah lewat dikesan.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, ujian saringan mengesan kehadiran kanser pada peringkat awal merupakan satu langkah yang amat penting dan membantu meningkatkan peluang supaya kanser dapat dirawat dengan baik dan sembuh sepenuhnya.
“Sempena kempen kesedaran yang diadakan ini orang ramai boleh terus berjumpa dengan pakar yang dibawakan khas dari Hospital Serdang dan saya berharap supaya masyarakat setempat dapat turut sama dalam kempen kesedaran ini,” ujarnya ketika merasmikan Program Kempen Kesedaran Kesihatan Prostat 2020 di Klinik Kesihatan Sikamat.
Ketua Jabatan Urologi Hospital Serdang, Dr Khairul Asri Mohd Ghani, berkata kadar kes meningkat selaras dengan pertambahan usia dan pesakit tertinggi adalah kumpulan warga emas.
“Ujian saringan kanser prostat dilakukan melalui kaedah Prostate-Specific Antigen (PSA) yang boleh mengenal pasti sama ada protein yang dihasilkan oleh tisu prostat normal atau tinggi.
“Jika bacaannya lebih daripada paras yang ditetapkan, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, selain ujian saringan kanser prostat terdapat pelbagai aktiviti diadakan untuk menyemai kesedaran orang ramai mengenai kesihatan prostat antaranya pameran kesihatan, ceramah pendidikan dan pemeriksaan kesihatan percuma.
-AK