
Laporan/foto : Luqman Hakim (Shah Alam)
SHAH ALAM, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua kegiatan di masjid, surau termasuk solat Jumaat di seluruh negeri ditangguhkan mulai hari ini hingga 17 April susulan penularan COVID-19.
Bagaimanapun, titah baginda, solat Jumaat wajib digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.
“Namun sekiranya wabak ini dapat dibendung dalam tempoh yang lebih awal, maka satu arahan baharu akan dikeluarkan.
“Laungan azan hendaklah terus dilaksanakan seperti kelaziman bagi menandakan masuk waktu solat,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Istana Selangor, hari ini.
Melalui kenyataan tersebut, baginda menyebutkan ketetapan itu selaras Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.
Perintah itu, yang berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Sultan Selangor turut menasihatkan rakyat supaya tidak hadir dan berkumpul di tempat awam khususnya jika mereka mempunyai simptom penyakit COVID-19 untuk mengelak penularan virus berbahaya itu.
“Umat Islam di Selangor diseru agar mendoakan kesejahteraan diri masing-masing, keluarga dan rakyat setiap kali selepas mengerjakan solat.
Sultan Selangor meminta semua rakyat mematuhi arahan-arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan Kerajaan Persekutuan bagi mencegah penularan baharu dan memulihkan keadaan dengan segera.
“Rakyat dipohon bersabar dengan memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha kerajaan memastikan keselamatan rakyat jelata,” titah baginda.
-NAZ