Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Budak Enam Tahun Dipercayai Didera Bapa Angkat

By 17 Mac 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Seorang kanak kanak lelaki berusia enam tahun cedera dipercayai didera bapa angkat dalam kejadian di Desa Satu Apartment, Kepong di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan terdapat kes penderaan kanak-kanak.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota polis Balai Polis Desa Jaya telah ke tempat kejadian, menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera teruk di seluruh badan.

“Ia dipercayai didera bapa angkatnya menggunakan rotan, hasil pemeriksaan doktor Hospital Selayang mendapati kecederaan yang dialami di semua bahagian badannya,” katanya.

Katanya, pihak polis telah menangkap bapa angkat kanak-kanak di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati kanak-kanak tersebut didera disebabkan nakal dan suspek yang berusia 36 tahun itu telah direman selama lima hari bermula semalam.

“Kita menasihatkan kepada mereka yang diberi hak penjagaan agar tidak melanggar amanah itu kerana mendera kanak-kanak merupakan kesalahan yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Bukit Idaman, di sini hari ini.

-NAZ

Tinggalkan komen anda