
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/FB Markas ATM
PUTRAJAYA, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Keputusan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertingkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah wajar agar PKP ini dapat dilaksanakan atau dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang TUDM menyambut baik langkah kerajaan dalam menguatkuasakan PKP kerana ia merupakan langkah terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak COVID-19.
“Peranan ATM yang bermula pada 22 Mac lalu seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan adalah membantu PDRM dalam mengadakan rondaan, sekatan jalanraya, mengawal hospital dan sempadan, kawasan luar bandar dan kawasan-kawasan awam yang berisiko tinggi.
“Maka masyarakat perlu faham bahawa perintah kawalan ini dilaksanakan atas pertimbangan sewajarnya demi kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pagi ini.
Affendi turut mengulas penglibatan Anggota ATM pada hari pertama pelaksanaan menyaksikan hanya sebilangan besar penduduk mematuhi arahan ini.
“Walaupun pematuhan PKP mencapai kadar pematuhan 90 peratus, namun kita tidak boleh memandang enteng dengan jumlah 10 peratus yang masih ingkar. Peratusan tersebut melibatkan kira-kira 3 juta orang dan ia merupakan satu jumlah yang besar.
“Kegagalan juga bukanlah suatu pilihan dalam ATM, justeru apabila tugasan diberi untuk membantu PDRM, ATM secara langsung akan membantu memupuk sifat berdisiplin dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mematuhi sebarang perintah dan arahan yang sah yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.
Secara keseluruhan, seramai 7,500 anggota ATM ditugaskan untuk membantu PDRM, di mana anggota-anggota ATM daripada ketiga-tiga perkhidmatan ditugaskan di 405 lokasi Sekatan Jalan Raya dan 272 lokasi adalah rondaan MPV (Mobile Patrol Vehicle) di seluruh negara setiap hari.
-SH