
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/FB KBS
PUTRAJAYA, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Malaysia bersama-sama 45 buah negara lain menyokong keputusan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) meneruskan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengikut jadual buat masa kini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, memaklumkan bagaimanapun undian sokongan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat.
“Pihak IOC harus melakukan perubahan yang adil dalam proses kelayakan atlet-atlet, di samping menjadikan aspek kesihatan dan keselamatan atlet dan pegawai menjadi kepentingan serta terus memantau perkembangan terkini ancaman COVID-19 dari semasa ke semasa.
“Di samping itu, IOC yang keseluruhannya mempunyai 206 negara sebagai ahli gabungan perlu mendapat pandangan majoriti sebelum membuat keputusan muktamad. Walau bagaimanapun, IOC dan semua negara anggota akan mengambil langkah sewajarnya dengan mengambil kira pandangan dan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya pandemik global COVID-19 ini menjadi lebih serius dan tidak terkawal,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, di sini hari ini.
Reezal turut memberi jaminan KBS dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan sentiasa bekerjasama dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan atlet dan pegawai terlibat diberi keutamaan tertinggi sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
-SH