
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberi fokus kawalan orang ramai dengan memantau pergerakan pengunjung di pasar-pasar awam dalam pentadbirannya pada hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.
Yang Dipertua, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata pihaknya menggerakkan 35 orang anggota dari Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS ditugaskan untuk pemantauan berkenaan.
Menurutnya, MPS telah menguatkuasakan peraturan bagi urusan pembelian di pasar awam Selayang bagi mengelakkan kepadatan orang ramai dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Hanya satu pintu masuk dibuka di semua pasar awam dengan hanya satu wakil mewakili satu keluarga dibenarkan membeli keperluan serta memastikan jarak selamat satu meter daripada pembeli lain ketika berurusan.

Anggota penguatkuasa MPS bertugas memastikan orang awam mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19 ketika berurusan di pasar awam.
“Pembeli tidak dibenarkan mengerumuni meja penjual dan digalakkan memakai topeng muka serta sarung tangan.
“Keadaan di seluruh pasar-pasar awam didapati terkawal dan orang ramai mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, beliau berharap disiplin dan kerjasama dari orang awam itu dapat diteruskan untuk bersama-sama membantu kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.
“MPS juga akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan setiap peraturan dan arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac itu dipatuhi.
“Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Khas MPS di talian 03-61389898 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat atau talian bebas tol di 1800-222-677 untuk sebarang pertanyaan atau aduan,” katanya.
-SH