
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Lebih kurang 50,000 anggota terdiri daripada tentera, polis, RELA dan pihak berkuasa tempatan kini memantau pematuhan orang ramai terhadap Perintah Kawalan Pergerakan dalam mengekang penularan wabak COVID-19.
Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain majlis keselamatan negeri, pusat pengurusan bencana daerah juga akan digerakkan untuk menguatkuasakan dengan tegas peraturan itu.
Beliau berkata walaupun sehingga ini polis mendapati kadar pematuhan terhadap perintah itu adalah 90 peratus, beliau memandang serius baki 10 peratus itu memandangkan bilangan mereka juga besar jika diambil kira bilangan penduduk lebih 31 juta orang di negara ini.
Kerajaan juga setuju tempatkan polis dan tentera di kawasan pasar, pasar raya pantau pematuhan penjarakan sosial, kata Ismail Sabri yang juga merupakan Menteri Pertahanan dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Langkah itu perlu kerana tempat-tempat seperti pasar pagi dan pasar raya masih sesak walaupun perintah itu berkuatkuasa.
— BERNAMA