
Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel/Shahrul Azril Sulaiman (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Pihak Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menyampaikan sumbangan berupa kit makanan kepada petugas lapangan yang mangawal dan memastikan Perintah Kawalan Pergerakan di daerah ini berjalan lancar.
Menurut Yang Dipertua MPKK Zulqarnain Mohamad, sumbangan makanan ini merupakan tanda terima kasih pihak MPKK kepada petugas yang menjalankan amanah mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 hingga 31 Mac ini.
“Antara pihak yang bertungkus lumus dalam memastikan tempoh kawalan ini dipatuhi oleh penduduk adalah Pejabat Penerangan Daerah, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan dan petugas-petugas MPKK sendiri,” katanya yang ditemui semasa edaran tersebut, di sini semalam.
Zulqarnain turut menyeru kepada seluruh rakyat terutamanya penduduk Kuala Kangsar agar mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan agar rantaian virus COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya.
“Antara langkah yang diambil oleh pihak MPKK dalam menyahut seruan kerajaan adalah dengan memastikan para peniaga yang tidak tersenarai dalam pengecualian perintah kawalan, menutup serta-merta premis perniagaan mereka,” tambahnya.
Turut sama dalam agihan sumbangan ini, Setiausaha MPKK Mohd Ikram Ahmad.
-SH