
Laporan/foto: Ezzaty Razimi/Latifah Shazreen (Muar)
MUAR, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Istiadat mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelapan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditemani oleh isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman telah meluangkan masa bagi menziarahi pusara ibu dan bapanya, Allahyarham Mohd Yassin Mohd dan Khadijah Kassim di Tanah Perkuburan Islam Batu Dua, Jalan Bakri tengahari tadi, sejurus selepas memulakan tugas rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia pagi tadi.
Beliau juga mengambil kesempatan menghadiri majlis tahlil dan bacaan yasin bersama ahli keluarganya di tanah perkuburan tersebut.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Pegawai Daerah Muar Datuk Mohd Hafiz Ahmad, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Kepong Datuk Sahruddin Jamal serta pegawai-pegawai kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Salah seorang ahli keluarga, Mohd Fuad Saman, 56, yang ditemui berkata pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri amat membanggakan mereka sekeluarga, serta seluruh penduduk Pagoh.
“Muhyiddin merupakan seorang pemimpin yang tegas, berintegriti selain merendah diri serta senang didekati tidak kira kawan ataupun dan lawan yang mana saya yakin beliau mampu mentadbir kerajaan dengan baik dengan pengalaman luas beliau dalam bidang pentadbiran,” katanya.

Mohd Fuad Saman menganggap pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan amat membanggakan keluarga.
Penduduk tempatan Musa Jaafar, 50, yang ditemui menyatakan kekagumannya terhadap keperibadian Perdana Menteri yang sentiasa merendah diri dan menghormati orang tanpa mengira darjat.
“Beliau yang saya kenali masih tidak berubah, mempunyai peribadi yang baik, sentiasa berbudi bahasa selain tidak sombong walaupun memegang jawatan tinggi dan saya percaya beliau akan menjadi Perdana Menteri yang disukai oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya lagi.
Tan Sri Muhyiddin Yasin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh telah memegang jawatan ini selama lima penggal berturut-turut dan secara tidak langsug ia membuktikan kemampuan beliau sebagai seorang pemimpin berwibawa yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Musa Jaafar percaya Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menjadi Perdana Menteri yang disukai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Muhyiddin telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani, Sekolah Kebangsaan Ismail dan seterusnya Sekolah Tinggi Muar dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dengan memperolehi Ijazah Muda Ekonomi dan Pengajian Melayu pada tahun 1971.
Memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Negeri Johor dan seterusnya menjawat jawatan Penolong Pegawai Daerah Muar membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi dalam mentadbir negara.
-NI-