
Laporan/Foto : Ramasamy Amas (JEMPOL)
JEMPOL, 1 Mac (Malaysiaaktif) – “Larian Mansorian bukan sahaja larian amal bertujuan untuk mendapatkan dana bagi menambahbaik prasarana fizikal dan kemudahaan pengajaran dan pembelajaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mansor malah ianya juga akan dijadikan produk pelancongan daerah Jempol,” demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteran Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong ketika berucap merasmikan majlis penutupan dan penyampaian hadiah IOI Mansorian National Block run 2020 di Bandar IOI, Bahau pada Sabtu.
Beliau yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, Bandar Bahau kini pesat membangun terutama di Bandar IOI dan bakal menjadi tumpuan orang ramai tidak lama lagi dengan pelbagai prasarana akan dilaksanakan di kawasan tersebut.
“Syabas diucapkan kepada penganjur yang berjaya mengelola acara peringkat kebangsaan seperti ini dan tahniah juga kepada peserta-peserta larian yang hadir daripada seluruh negara bagi menyertainya serta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” ujarnya lagi.
Kok Seong turut berharap agar program tersebut terus dilaksanakan setiap tahun dan pihak kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dan bantuan bagi menjayakan program itu dalam skala yang lebih besar dalam menjadikan Bandar Bahau dan Jempol terkenal sebagai pusat pelancongan sukan.
Pengetua SMK Datuk Mansor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Mansorian Block Run 2020, Hamdan Aziz, berkata selain bertujuan mengumpul dana, larian itu juga bertujuan sebagai penggalak kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
“Program ini merupakan satu penggalak kepada masyarakat untuk menjaga kesihatan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda,” katanya.
Sebanyak lapan kategori larian telah dipertandingkan dengan kira-kira tiga ribu penyertaan keseluruhan yang merangkumi kategori Sekolah Menengah, dewasa, veteran dan juga larian VIP melibatkan jarak satu kilometer hingga sembilan kilometer mengikut kategori.
Bagi kategori Dewasa, pelajar Universiti Malaya, Surender Kaur, 23, dan K.Vasantah, 25, dari Raub, Pahang masing masing menjadi johan acara lelaki dan wanita, menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1000 beserta piala dan sijil penyertaan.
-AK