
Laporan/foto: Ahmad Zaki/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)
KULAI, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Pertandingan Sketsa Rukun Negara merupakan platform untuk para pelajar sekolah yang berbilang kaum menzahirkan penghayatan dan pemahaman terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara dengan komprehensif.
Sebanyak 9 buah sekolah menengah mewakili setiap daerah di negeri Johor telah menyertai Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Johor 2020 yang telah berlangsung di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Kumpulan Aura SSI Johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Johor 2020 yang akan mewakili negeri ini ke Peringkat Kebangsaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Tosrin Jarvanthi, penglibatan para peserta Pertandingan Sketsa Rukun Negara ini selaras dengan objektif pertandingan iaitu untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda.
“Pertandingan ini juga merupakan platform yang tepat bagi memberi kefahaman serta penghayatan mengenai prinsip-prinsip Rukun Negara.
“Selain itu, ia juga dapat mewujudkan generasi belia yang berilmu, mempunyai nilai-nilai murni serta integriti yang tinggi dan membina rangkaian jaringan strategik antara Jabatan Penerangan Negeri Johor dengan generasi muda,” katanya lagi.

Seni lakon merupakan teknik yang mudah untuk generasi muda menyampaikan mesej serta maklumat kepada umum.
Beliau juga menegaskan betapa pentingnya Rukun Negara kepada rakyat Malaysia di mana lima prinsip Rukun Negara ini dijadikan simbolik yang perlu kita semaikan dalam amalan seharian rakyat Malaysia yang berbilang kaum demi kesejahteraan, keamanan, perpaduan dan kemakmuran Negara.
“Pemilihan Rukun Negara sebagai tema Pertandingan Sketsa begitu tepat agar apa yang dipersembahkan oleh para pelajar, dapat dilihat dan mampu membuka mata dan hati masyarakat bagi memahami dengan lebih jelas betapa pentingnya mengamalkan budaya hidup berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam era Malaysia yang semakin mencabar kini”, ujarnya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Penutup Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Johor, di sini, baru-baru ini.
Pada tahun ini, Kumpulan Aura SSI dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim, mewakili daerah Kulai telah dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Johor dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta sijil, piala pusingan dan piala iringan serta akan mewakili negeri Johor ke Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan Ogos nanti.
Kumpulan Produksi Matahariku dari Kota Tinggi diumum sebagai pemenang tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta sijil dan piala iringan manakala tempat ketiga Kumpulan Fath Team mewakili daerah Muar membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil dan piala iringan.
Turut diadakan pameran dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kesihatan Daerah Kulai serta persembahan dari artis-artis PENTARAMA Jabatan Penerangan Malaysia.
Penganjuran program seumpama ini mampu memberi mesej yang lebih mudah untuk diterima dan difahami serta menyuburkan semangat cintakan negara dan bumi bertuah ini dikalangan para pelajar serta rakyat Malaysia.
-NI-