
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Johor Corporation (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Johor Corporation menerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) mengambil inisiatif membantu 1,300 buah keluarga dari golongan yang terjejas dengan penularan pandemik COVID-19 di beberapa buah daerah di negeri ini.
Menurut Ketua Eksekutif WANCorp Bukhari Abdul Rahman, daripada sumbangan RM30 ribu, pengagihan keperluan barangan asas dan makanan kepada 600 buah keluarga telah pun diuruskan oleh pihak WANCorp.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 300 buah keluarga di kawasan DUN Benut, Pontian dan 100 buah keluarga di DUN Puteri Wangsa, Johor Bahru telah pun menerima agihan sumbangan.

Sukarelawan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) mengedarkan barang-barang sumbangan kepada penerima di Taman Cendana, Pasir Gudang.
“Bantuan seterusnya diagihkan kepada 100 buah keluarga yang memerlukan di DUN Rengit, Batu Pahat dan 100 lagi kepada keluarga di DUN Tenang, Segamat,” katanya lagi dalam satu kenyataan baharu-baharu ini.
Menurut Bukhari, WANCorp juga telah melancarkan kempen Sumbangan Dana COVID-19 pada 24 Mac lalu dan berjaya mengumpulkan sumbangan orang ramai berjumlah RM35 ribu.
Tambah beliau, sebanyak RM30 ribu telah diagihkan kepada 600 keluarga yang memerlukan di Taman Cendana, Pasir Gudang dan 200 keluarga lagi di sekitar Larkin manakala baki peruntukan untuk 100 keluarga akan diagihkan dalam masa terdekat.

WANCorp juga telah melancarkan kempen Sumbangan Dana COVID-19 dan berjaya mengumpulkan sumbangan orang ramai berjumlah RM35 ribu – Bukhari Abdul Rahman, Ketua Eksekutif WANCorp.
“Orang ramai boleh terus menyumbang bagi mengisi Dana COVID-19 kerana masih banyak keluarga yang memerlukan bantuan memandangkan mereka tidak dapat bekerja sekaligus terputus mata pencarian selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan virus itu di negara ini,” ujarnya.
Menurut Bukhari lagi, sumbangan daripada orang ramai boleh disalurkan menerusi pautan: https://toyyibpay.com/Tabung-Bantuan-Covid-19- atau akaun Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru: 01014010060023 (Bank Islam Malaysia Berhad) atau mengimbas QR Code yang terdapat pada poster kempen di laman Facebook WANCorp dan Johor Corporation.
-NI-