
PUTRAJAYA, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Selepas hampir sebulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes positif harian COVID-19 menurun kepada dua angka iaitu 85 kes berbanding tiga angka pada hari-hari sebelumnya.
Malah, jumlah kes pulih harian adalah 169 kes, dua kali ganda lebih tinggi berbanding kes baharu yang direkodkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan 169 kes pulih itu menjadikan jumlah kumulatif terkini kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan diizin keluar daripada wad adalah sebanyak 2,647 kes (52.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Sehingga 12 tengah hari, terdapat 85 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,072 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,342 kes.
“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.
— BERNAMA